Pengerusinya, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, pihaknya telah mengesan 27 kes penipuan membabitkan borang BL1M itu di Pendang, Kedah.
"Kita dimaklumkan pihak tersebut meminta bayaran sebanyak RM299 daripada peserta bagi tujuan mendaftar di bawah BL1M.
"Sehubungan itu, orang ramai diminta berwaspada kerana kami tidak menerima sebarang wang tunai. Pemohon hanya dikenakan bayaran sebanyak RM199 dan ia perlu dijelaskan melalui kiriman wang kepada syarikat MY E.G. Services Bhd. (MYEG)," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran BL1M peringkat Parlimen Jempol di Kompleks Rakan Muda Jempol, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin dan Pengerusi BL1M Parlimen Jempol, Mohd. Nizam Aman.
Tengku Azman yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, pihaknya percaya perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan dengan tujuan merosakkan nama baik Pemuda UMNO.
"Ada peserta yang tidak mengetahui mereka telah mendaftar kepada pihak yang salah. Jadi mereka salahkan Pemuda UMNO dengan mendakwa kami tidak menepati janji iaitu mengenakan caj sebanyak RM199.
"Lebih teruk apabila pihak tersebut mengambil wang namun tidak menyerahkan borang kepada kami. Ia menyebabkan peserta terpaksa menanggung kerugian di atas sikap tidak bertanggungjawab pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan cara yang salah," ujarnya.
Mengenai pelaksanaan BL1M, Tengku Azman memberitahu, sehingga kini sambutan yang diterima amat menggalakkan.
"Pada hari ini sahaja kami telah terima lebih daripada 4,000 penyertaan.
"Melalui program ini, kami harap peserta bukan sahaja dapat memiliki lesen B2 malah mendapat ilmu pemanduan bagi melahirkan penunggang motosikal yang berhemah," jelasnya.
0 Komen