Salah seorang penduduk, Normah Titon, 37, memberitahu, keluarganya kini dapat menonton siaran televisyen dengan lebih jelas berbanding dahulu yang gambarnya kabur dan tidak terang.
''Saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan, memang kami tidak mampu melanggan Astro kerana bayaran bulanannya agak mahal.
''Malah melalui rangkaian ini, anak saya dapat mengulangkaji menggunakan sistem pembelajaran yang baru. Kalau dulu kita belajar dengan buku, hari ini dalam televisyen ada pelbagai rancangan pembelajaran,'' jelasnya.
Hasniah Kongnga, 50, dari Sungai Sampo turut melahirkan rasa gembira dengan bantuan diberikan sekali gus membuktikan kerajaan mengambil berat tentang kebajikan dan masalah yang membelenggu masyarakat Orang Asli.
''Televisyen di rumah sudah lama, malah kecil sahaja berukuran 21 inci. Terkejut juga apabila diberitahu kami akan mendapat televisyen LCD 32 inci.
''Hal ini membuktikan kerajaan sentiasa mengambil berat soal kami. Banyak bantuan yang telah mereka berikan kepada kami, walaupun duduk di kawasan yang jauh dari bandar kami tetap diutamakan,'' jelasnya.
Ella Fadila Abu, 25, pula menjelaskan, kini keluarganya dapat menonton lebih banyak rancangan di rumah sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan mereka.
''Apabila banyak rancangan maka banyaklah maklumat yang kami akan terima. Pastinya selepas ini kami akan mendapat pelbagai maklumat terkini dari dalam dan luar negara,'' jelas jururawat di Klinik Simpang Durian, Jelebu itu.
Set televisyen dan dekoder Astro Njoi itu telah disampaikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
0 Komen