21 Januari 2013
Bagaimanapun, taktik kotor lelaki berusia 41 tahun itu akhirnya dapat dihidu Jabatan Imigresen menerusi aduan orang awam yang akhirnya membawa penahanannya di sebuah restoran di Lobak, di sini, kelmarin.
Lelaki berkenaan ditahan kira-kira jam 10 malam ketika sedang minum sambil menunggu hidangan rojak yang dipesan.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, hasil siasatan, pihaknya mendapati lelaki terbabit menjalankan kegiatannya itu sejak dua minggu lalu.
“Sewaktu ditahan lelaki itu terkedu dan ketika diminta MyKadnya, dia memberi alasan dompet tertinggal di rumah dan datang ke situ dihantar oleh rakannya.
“Setelah hampir satu jam, kita berjaya mengesan kereta yang digunakan dan menemui pelbagai jenis barang seperti dua kemeja T yang mempunyai logo Imigresen, tiga pasport warga Indonesia, dokumen pusat rumah urut dan beberapa dokumen lain,” katanya pada sidang media diadakan semalam.
Faizal berkata, turut dijumpai resit tempahan kemeja T Imigresen terbabit yang bertarikh 7 Januari lalu dan beralamat di Nilai.
Menurutnya, ketika disiasat, lelaki itu yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak mengaku tinggal di Semenyih, Kajang.
“Namun, berdasarkan alamat MyKadnya, kita dapati dia menggunakan alamat Taman Seremban,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya tindakan lelaki itu bertujuan menakutkan pengusaha dan pekerja kedai untuk makan dan minum percuma dengan menggunakan jawatan sebagai pegawai Imigresen dari Depot Tahanan Lenggeng.
Malah katanya, hasil makluman orang awam, lelaki itu turut memberitahu berperanan membuat urusan berkaitan Imigresen.
“Sebab itu kita jumpa beberapa dokumen seperti pasport, surat menyurat berkaitan dokumentasi dan lain-lain dalam keretanya.
“Berkemungkinan dia bekerja sebagai ejen membantu menguruskan isu berkaitan Imigresen dengan tujuan mendapat keuntungan,” katanya.
Faizal berkata, lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 12(1)(F) Akta Pasport kerana memiliki pasport milik orang lain tanpa kuasa sah dan akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut atas kesalahan melakukan penyamaran.
Beliau berkata, kes ini merupakan yang kedua membabitkan penyamaran anggota Imigresen di negeri ini.
“Tindakan lelaki itu memang memberi persepsi buruk kepada Jabatan Imigresen kerana seolah-olah pegawai dan anggota kita menyalahgunakan jawatan mereka.
“Jika ada sesiapa yang berhadapan dengan kes seperti itu, mereka boleh minta individu itu tunjukkan kad kuasa membuktikan mereka dari Jabatan Imigresen,” katanya.
0 Komen