Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, amat perlu penggerak dasar kerajaan mengetahui maklumat terkini sama ada melalui pembacaan, taklimat mahupun yang disampaikan pemimpin agar dapat diterjemahkan dengan baik kepada rakyat kelak.
"Banyakkanlah membaca dan mendapatkan maklumat yang tepat untuk memberi penerangan supaya rakyat tidak keliru dengan isu berbangkit," katanya dalam majlis perjumpaan dengan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, semalam.
Dalam majlis itu, Mohamad turut menyerahkan kutipan RM10,000 yang dilakukan keluarga besar Kemas negeri untuk Tabung Gaza kepada Pengurus Aman Palestin, Mohamad Isfahmi Mohamad.
Menurut Mohamad, untuk mencapai hasrat itu sesebuah organisasi juga memainkan peranan dengan memperlihatkan pengurusan dan kepimpinan baik.
"Saya selalu percaya dengan kepimpinan yang baik, maka kakitangannya juga akan baik. Kita tidak mahu melihat, jika 'askarnya' rela berkorban, tetapi 'jeneralnya' tidak tahu apa-apa," jelasnya.
Oleh itu katanya, seorang pemimpin perlu mengambil tahu banyak perkara dan bersedia dalam apa juga keadaan menyelesaikan kemelut organisasi.
"Kadangkala organisasi itu pula baik, tetapi orang yang memimpin tidak baik. Jika ini berlaku, maka organisasi yang cemerlang itu juga boleh runtuh," katanya.
Tambah Mohamad, pendukung dan penggerak dasar itu hendaklah menjadikan organisasi yang diwakili itu sebagai tempat rujukan rakyat terutama apabila berlakunya konflik dan permasalahan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130119/ws_01/Rakyat-perlu-dapat-maklumat-tepat#ixzz2IR0kHXOH
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 Komen