16 Januari 2013
Ruslina, 46, merupakan suri rumah sepenuh masa di Taman Desa Rhu, Sikamat, di sini, dengan hati terbuka menjaga Prebet Ujang Mormin, 92, yang tinggal sebatang kara dan uzur sejak dua bulan lalu.
Ujang atau lebih mesra dengan nama Tok Ujang merupakan satu-satunya wira pertempuran Bukit Candu, Singapura yang masih lagi hidup dan isterinya telah meninggal dunia tiga tahun lalu.
Lebih menyedihkan, dua anaknya juga sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi gagal dikesan.
Menceritakan detik permulaan dia sekeluarga mengenali Ujang, Ruslina berkata, Tok Ujang dan isterinya pernah menyewa sebuah rumah berhampiran rumahnya, 10 tahun lalu.
“Saya amat rapat dengan isteri Tok Ujang seolah-olah kami seperti ahli keluarga. Namun, sejak kematian isteri, Tok Ujang tinggal seorang diri menyebabkan kami bertambah simpati kepadanya.
“Namun, selepas itu Tok Ujang pindah rumah di Taman Warisan Puteri kerana rumah yang disewa hendak dijual tuan rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Ruslina berkata, ketika itu, dia bersama suami, Muda Jusoh, 60, sering menjenguk Tok Ujang di rumah untuk bertanyakan khabar di samping menghantar juadah.
Bagaimanapun, Ruslina berkata, pada 12 Disember lalu, dia sekeluarga terkejut apabila mendapati Tok Ujang terlantar di dapur rumah akibat terjatuh.
“Kami segera membawanya ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini dan dia dirawat selama 10 hari sebelum ditukarkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur selama 20 hari akibat patah kaki kanan,” katanya.
Ruslina yang mempunyai empat orang anak berusia dari 19 hingga 26 tahun itu berkata, sepanjang di hospital, dia dan suaminya sering berulang-alik menjaga Tok Ujang.
"Empat hari lalu, Tok Ujang dibenarkan keluar hospital dan saya sekeluarga menjaganya kini di rumah kami. Tok Ujang tidak boleh berjalan dan hanya terlantar atas katil, di samping mengalami masalah pendengaran. "Kami akan menjaganya seperti ayah sendiri meskipun tidak mempunyai sebarang pertalian darah ,” katanya yang sudah kematian ibu dan ayah sejak kecil.
kita kena bantu sebaik mungkin org macam nie