JELEBU 8 Feb. - Jelajah Gelombang Biru merupakan satu simbolik perjuangan rakyat negara ini yang menyokong dan mendukung semua transformasi dilakukan oleh kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, usaha itu adalah gerakan semangat untuk sama-sama berjuang dengan suara majoriti dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
"Ini adalah satu simbolisme perjuangan sekutu kita iaitu orang Melayu, Tionghua, India khasnya serta semua rakyat Malaysia amnya bagi memberi sokongan dan dukungan kepada transformasi dan tindakan dilaksanakan oleh Perdana Menteri," ujar beliau ketika berucap dalam program Jelajah Gelombang Biru Parlimen Jelebu di sini kelmarin.
Rais memberitahu, usaha jelajah yang disertai Pemuda BN itu mampu menggegarkan kawasan Parlimen Jelebu di samping memberikan penjelasan tepat terhadap transformasi dan dasar kerajaan untuk pengetahuan rakyat.
"Saya optimis melalui jelajah ini, ia akan dapat merapatkan hubungan rakyat dengan pasukan gelombang biru serta memberikan keyakinan betapa kerajaan BN yang patut dipilih pada pilihan raya akan datang," katanya.
Tambah Rais, selain siri jelajah, program turut diperluaskan dengan aktiviti-aktiviti kesukarelaan, gotong royong, membaiki rumah, membersihkan longkang dan sebagainya.
"Selain menolong orang ramai, kami akan meletakkan gerombolan gelombang biru ini mengikut sektor supaya ia lebih menyeluruh.
"Walaupun kita bersuka ria dalam gelombang biru ini, ia hendaklah juga diisi dengan nilai yang baik," katanya.
Program Jelajah Gelombang Biru Peringkat Parlimen Jelebu itu melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Klawang, Simpang Pertang, Chennah dan Sungai Lui.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130209/ws_03/Gelombang-Biru-simbolik-perjuangan-rakyat-bersama-PM#ixzz2KMrvMd00
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 Komen