16 Februari 2013
Mangsa, Chin Yun Fook, 38, berkata, pada mulanya, dia beranggapan rakan serumahnya sudah pulang apabila melihat mangga yang diletakkan di pintu jeriji besi terbuka.
Namun, sangkaannya meleset sebaik memasuki rumah apabila ketiga-tiga pintu bilik tidur terbuka serta keadaan berselerak.
Menurutnya, dia yang cemas bergegas memeriksa keseluruhan rumah yang bersepah itu.
“Saya terkilan mendapati jam tangan jenama Rolex bernilai RM20,000 yang dibeli semasa bekerja sebagai tukang masak di Ireland dilarikan pencuri bersama beberapa beg berjenama.
“Jam tangan itu ada nilai sentimental yang tinggi kerana mengingatkan saya kenangan selama lima tahun mencari rezeki di perantauan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Yun Fook berkata, susulan insiden itu, dia menghubungi dua lagi rakan serumahnya yang masih bercuti sempena Tahun Baru Cina dan masing-masing dari Melaka dan Ipoh bergegas pulang ke rumah sewa mereka.
Jelasnya, ada jiran memaklumkan ternampak sebuah kereta dinaiki tiga lelaki diletakkan di hadapan rumah sewa mereka, namun menganggap ia kunjungan tetamu sempena Tahun Baru Cina.
“Ekoran kejadian ini, saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau untuk tindakan lanjut,” katanya.
0 Komen