Janji PRU12 belum ditunaikan
Kok Seong (empat, kanan), Kumar (empat, kiri) bersama kepimpinan PR dan beberapa penduduk Kampung Tamanjaya menunjukkan jalan yang tidak berturap.
BAHAU- Tiga keluarga di Kampung Tamanjaya, di sini kesal kerana jalan menghala ke rumah mereka tidak berturap.

Mereka juga menyifatkan janji pihak berkenaan untuk melaksanakannya hanya sekadar  janji Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Penduduk, S.Nadaraja, 47 berkata, dia tinggal di hujung kampung kawasan berkenaan bersama dua lagi keluarga dengan tiga buah rumah.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila tiba musim hujan, jalan jadi lecak dan menyukarkan mereka untuk keluar dan masuk.

"Jika menggunakan motosikal, memang akan ada yang terkandas. Jadi saya mohon pihak berkenaan buat sesuatu terhadap masalah ini,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Hadir sama meninjau masalah penduduk itu Adun Bahau, Teo Kok Seong dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, T.Kumar.

Dua lagi penduduk, M.Baskaran, 29, dan K. Mangaleswaran, 23, mengakui terpaksa menunggu hampir satu jam atau air surut sekiranya jalan berkenaan banjir.

"Kami sudah tinggal di sini lebih 10 tahun, berikutan itu kami ingin merasai jalan yang lebih selesa dan berharap masalah ini dapat diakhiri segera,” katanya.

Sementara itu, Kok Seong berkata, beliau akan panjangkan perkara itu kepada pejabat tanah dan Majlis Daerah Jempol (MDJL).

“Saya berpendapat, sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab iaitu di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) mereka (BN) seharusnya tepati janji sepertimana dilaung-laungkan.

“Manakala ada segelintir yang berhormat (YB) dakwa sudah menjadi pemimpin hampir 30 tahun sekali gus banyak perkara sudah diselesaikan.

“Tetapi bagaimana dengan permintaan kecil penduduk kampung di sini tidak ditepati, yang hanya minta jalan lebih selesa,” katanya.