REMBAU 17 Feb. - Dasar yang dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat dirasai oleh rakyat menerusi penyusunan strategi dan program pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu jelas dilihat apabila strategi yang dilaksanakan itu bukan tertumpu kepada pihak tertentu sahaja, sebaliknya membabitkan semua golongan termasuk orang muda.
Malah katanya, setiap lapisan masyarakat khususnya generasi muda mempunyai peranan menerusi dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan memandangkan mereka pewaris yang akan mengambil alih pimpinan dalam masyarakat dan negara.
"Pelbagai bantuan yang disediakan untuk rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan hanya untuk mereka yang berkeluarga, tetapi juga orang bujang.
"Ia membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat dan sentiasa berusaha membantu mereka menerusi pelbagai bentuk bantuan," katanya di sini hari ini.
Khairy menyampaikan baucar BR1M 2.0 bagi individu bujang membabitkan lebih 900 penerima bagi Daerah Rembau di Dewan Seri Rembau yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris.
Khairy berkata, bantuan yang disampaikan secara berperingkat itu diharap dapat meringankan beban kewangan penerima.
"Ini membuktikan Kerajaan BN tidak pernah mungkir janji. Rakyat didahulukan dan kerajaan mahu rakyat hidup dengan selesa. Ia menjadi dasar pemerintahan sejak dahulu lagi," katanya.
0 Komen