Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang, 75, berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke Hospital Ampang sejak 9 Februari lalu.

Semalam, bintang Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat itu dikatakan tidak mampu bercakap selepas mengalami muntah darah sehari sebelumnya.
Isterinya, Kamariah Mohd Said, 58, berkata suaminya dimasukkan semula ke hospital akibat kesihatannya yang semakin meruncing.


Enggan jalani rawatan

Sebelum ini, dia perlu menjalani rawatan untuk melihat pendarahan dalaman, tetapi dia enggan. Semalam (kelmarin) dia muntah darah, jadi, doktor sarankan untuk meneruskan juga rawatan terbabit.

Bagaimanapun, ia tidak dapat dilakukan apabila tiba-tiba tekanan darahnya semakin rendah. Jadi, kami perlu menunggu sehingga tekanan darahnya kembali stabil sebelum diteruskan dengan rawatan selanjutnya, katanya ketika dihubungi BH.

Kuswadinata menderita penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar sejak empat tahun lalu. Selain itu, dia yang pernah dimasukkan ke hospital sama pada 7 Oktober tahun lalu, turut mengalami masalah buah pinggang yang kronik.
Dulu, walaupun sakit tetapi dia masih mampu bergurau dan berbual. Sekarang keadaannya semakin tidak bermaya, kata Kamariah.