13 Februari 2013
Katanya, dengan kekal kuat, orang Melayu akan menerima sokongan semua pihak.
"Oleh kerana kita adalah majoriti dalam tanah air kita sendiri, orang Tionghoa dan India akan menyokong kita, asalkan kita kuat dan tidak berpecah-belah," katanya pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM 2.0) kepada 643 orang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Chennah di Sekolah Menengan Agama Datuk Haji Tan Ahmad di sini hari ini.
Turut hadir ialah anggota Exco negeri yang juga anggota Dun Chennah, Datuk Siow Chen Pin dan Speaker yang juga anggota Dun Pertang, Datuk Razak Mansor.
Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata "bila kita (rakyat) sepakat, kita akan kuat. Tetapi bila kita tidak kuat, kita akan 'dibelah' dek orang".
Beliau berkata kekuatan itu jugalah yang dipegang Amerika Syarikat dan orang Inggeris sehingga mereka berkuasa dan dunia tidak boleh melakukan apa-apa terhadap mereka.
"Mari kita kukuhkan perpaduan dan persaudaraan kita dan kumpulkan tenaga kita supaya kita dan rakan-rakan selamat... serta kita tanamkan semangat perjuangan yang sebenar untuk kita terus mempunyai kuasa penuh dalam negara sendiri," katanya.
Untuk itu beliau mengungkapkan serangkap pantun (dalam loghat Negeri Sembilan)
"Pulau kelapo jauh di hulu
Dulang tembago jatuh di seborang
Walaupun apo akan berlaku
Kuaso jangan dirampas orang."
- Bernama
0 Komen