Tidak sempat hantar ayam
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat.
SEREMBAN – Seorang peniaga ayam tidak sempat menghantar bekalan niaganya kepada pelanggan selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sikamat, berhadapan Kem Sikamat di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, Johari Harun, 48, yang beralamat di Oakland, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, mangsa merupakan seorang peniaga ayam di Pasar Seremban dipercayai dalam perjalanan ke Sikamat bagi menghantar bekalan ayam kepada pelanggannya.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa dari pasar dalam perjalanan menghantar bekalan kepada sebuah restoran di Sikamat.

“Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah Sikamat tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa yang tidak sempat mengelak bertembung dengan kereta terbabit mengakibatkannya tercampak ke tengah jalan,” katanya.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan menerima laporan kejadian.