veteren ATM
Dari kiri: Hassan, Mahadi, Mohd Zali dan Navaratnam melihat surat sumbangan veteran ATM tidak berpencen 1Malaysia (SVATB1M).
PALONG - Empat orang bekas tentera tidak berpencen di sini melahirkan rasa kesal berikutan sagu hati perajurit bernilai RM1,000 yang dijanjikan tidak diperoleh malahan turut mendakwa jawapan yang diberikan tidak munasabah.

Bekas tentera, Mohd Zali Mohd Yusof, 51, berkata, dia telah mengisi borang seperti mana yang  diminta oleh pihak berwajib.

"Sebenarnya pada peringkat awal saya tidak tahu punca nama tidak tersenarai sebagai penerima wang berkenaan, dan surat menyatakan sama ada gagal atau sebaliknya juga tidak diperolehinya.

“Sehinggalah satu masa saya diberitahu bahawa saya gagal memperoleh wang berkenaan susulan nama saya tersenarai dalam para 49 L iaitu tindakan tatatertib.
“Kenapa perlu ada hal begini, padahal saya dimaklumkan semua bekas tentera tidak berpencen akan menerima wang tersebut. Saya berharap hal ini dapat dipertimbangkan semula oleh pihak berwajib supaya semua veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen tidak terkecuali menerimanya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Felda Palong 11.

Manakala dua lagi rakannya, Hassan Dahli, 54 dan K.Navaratnam, 54 turut mengalami nasib yang sama dengan Mohd Zali.
Kata Navaratnam, dia tertanya-tanya mengapa nasib bekas tentera tidak berpencen sepertinya bagai di anak tirikan, walaupun berkhidmat selama enam tahun.

“Bagaimana hal ini boleh terjadi? Kami pun pernah berkhidmat dalam ketenteraan dan berbakti pada negara,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi Mahadi Hassim, 55, dia menerima surat menyatakan berjaya untuk menerima wang sagu hati terbabit, namun surat diterimanya agak lewat.

“Kini saya tidak tahu bagaimana cara mendapatkan semula wang terbabit, apabila saya tanya pihak bertanggungjawab macam-macam pula alasannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Veteran ATM cawangan Melaka/Negeri Sembilan, Mejar Nik Anuar Nik Man berkata, bagi bekas tentera tidak berpencen dan menerima surat makluman lewat dari tarikh sebenar, wang  akan dimasukkan ke dalam akaun individu terbabit.

“Wang berkenaan dijangka akan dimasukkan dalam minggu kedua bulan Mac ini. Manakala, mengenai balu bekas tentera tidak berpencen yang dikatakan bakal menerima wang berkenaan ianya masih dalam perbincangan dan belum diluluskan lagi.

“Bagi kes tatatertib pula, hal itu tidak dipanjangkan kepada pihak berwajib setakat ini. Kita akan serahkan wang ini kepada yang lulus sahaja.

“Bagi yang mempunyai masalah mereka disaran menghubungi pejabat Hal Ehwal Veteran ATM cawangan Melaka/Negeri Sembilan di talian 06-2345931 agar kekeliruan dapat diselesaikan cara baik,” katanya.