5 Februari 2013
Nurshazwani Kamarulzaman, 18, berkata, dia mengambil ujian berkomputer di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seremban melalui pusat memandu di sini pada 14 Disember 2012.
Menurutnya, keputusan ujian kecacatan, warna dan penglihatan, serta ujian bahagian 1 (statik) lulus cemerlang.
“Ketiga-tiga seksyen iaitu seksyen A, B, dan C lulus. Seksyen A saya mendapat 15/15, seksyen B saya peroleh markah 25/25 dan seksyen C saya berjaya mendapat 8/10 dengan jumlah keseluruhan 48/50.
"Surat itu tertera perkataan ‘lulus’ namun selepas membuat semakan di MYEG, keputusan adalah sebaliknya.
"Nama saya ditulis tidak hadir untuk menduduki ujian itu dan tidak boleh meneruskan proses mengambil lesen memandu kereta dan motosikal,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Kamarulzaman Mansor, 44, berkata, dia terkejut di atas perkara itu kerana anaknya memang sudah menghadiri ujian dan mempunyai bukti yang sah.
“Saya keliru, bagaimana perkara ini boleh berlaku. Setelah anak saya maklumkan perkara tersebut, saya pergi ke pusat memandu untuk bertanyakan hal ini. Mereka beritahu ada kesilapan teknikal dan sedang berusaha mengatasinya.
“Namun, kini sudah dua bulan lebih, tiada jawapan yang diterima dari pusat terbabit. Saya juga sudah pergi ke JPJ untuk mendapat maklumat yang jelas. Tetapi pihak mereka suruh saya tanya ke MYEG,” katanya.
Kamarulzaman berkata, disebabkan berlaku kesilapan teknikal seperti ini ia mendatangkan kesulitan kepada anaknya.
“Tidak lama lagi, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan. Sekiranya anak saya berjaya melanjutkan pelajaran, sudah tentu pengangkutan adalah perkara penting.
“Apabila sudah ada lesen L, boleh dia membawa kenderaan dalam keadaan selamat tetapi kini dia tidak memperoleh lesen L atas kesilapan teknikal dari pihak berkaitan. Sekali gus membantutkan pergerakan anak saya,” katanya.
Kamarulzaman amat berharap, pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah itu dalam masa terdekat berikutan sudah menunggu lebih dua bulan.
“Saya amat berharap, ada kerjasama dari pihak berkenaan supaya anak saya mendapat lesen L berdasarkan kepada bukti yang dia hadir menduduki ujian berkomputer dan lulus,” katanya
0 Komen