18 Mac 2013
Wahida menunjukkan gambar ibunya yang menjadi pengubat rindu setelah ibunya bertugas di Lahad Datu.
Wahida yang merupakan anak kedua berkata, disebabkan tidak mahu mereka empat beradik berasa bimbang dan gusar, ibunya, Rohaya Jantan, 53, tidak pernah menyampaikan berita mengenai keadaan mencemaskan di lokasi berkenaan sehinggalah pada 1 Mac lalu setelah dua anggota polis negara terbunuh diserang pengganas.
Katanya, sebelum ini ibunya sentiasa menyatakan keadaan terkawal dan selamat di Sabah walaupun mereka sendiri gusar setelah mendapatkan maklumat melalui internet dan juga pelbagai saluran media sejak berita pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina yang menceroboh ke Felda Sahabat 17, Lahad Datu, 9 Februari lalu.
“Ibu tetap juga dengan pendirian untuk berada di sana dan menyuruh kami adik-beradik bersabar dan mendoakan keselamatannya kerana dia hanya akan pulang pada musim cuti sekolah penghujung bulan ini.
“Kami di sini adik beradik cukup bimbang dengan keadaan ibu, tambahan pula setelah mendengar berita ramai anggota polis terbunuh. Semasa situasi di sana tegang, pernah salah seorang adik saya menyatakan akan ke Sabah menjemputnya jika dia masih dengan pendirian yang sama tidak mahu pulang,”katanya.
Menurutnya, kali terakhir berhubung, ibunya berpesan supayaberdoa agar insiden di Lahad Datu dapat selesai segera dan bersabar menanti kepulangannya, Jumaat depan (ini) sempena cuti sekolah.


0 Komen