Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemberian geran hak milik tanah tersebut adalah bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited menjaga kepentingan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri terpaksa menyelesaikan beberapa masalah dihadapi penduduk di kawasan itu seperti status tanah dan kadar premium tinggi sebelum geran hak milik dapat diserahkan.
��Alhamdulillah pada hari ini kita dapat mengadakan majlis penyerahan geran hak milik kepada penduduk yang sebelum ini menghadapi masalah mendapatkan geran selepas lebih 40 tahun lalu meneroka tanah di sini.
��Kebanyakan penduduk di sini pada mulanya tidak mampu membayar kadar premium yang tinggi kerana status tanah di sini diwartakan sebagai tanah perumahan dan kerajaan negeri telah meminda status tanah kepada tanah perkampungan untuk mendapatkan premium yang jauh lebih rendah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah kepada 196 penduduk di Siliau hari ini.
Mohamad berkata, mengikut harga pasaran, tanah di kawasan itu berharga lebih RM10 sekaki persegi, namun kerajaan negeri hanya menawarkan kadar premium serendah 10 sen untuk satu kaki persegi kepada penduduk.
��Majoriti penduduk di sini terdiri daripada warga tua dan berpendapatan kecil serta tidak mampu membayar premium tanah yang tinggi sekiranya status tanah tidak ditukar.
��Bagi saya ini adalah hadiah kerajaan kepada mereka dan sebagai bukti kerajaan BN sentiasa prihatin serta berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat," jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk di Ladang Saga, M. Muniamah, 57, berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana penantian lebih 40 tahun untuk memiliki geran akhirnya tercapai.
��Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya Menteri Besar kerana membantu menyelesaikan masalah pemilikan tanah kami ini.
��Sekarang barulah saya berasa lega kerana tanah ini sudah menjadi milik saya," katanya.
Seorang lagi penduduk, K. Nachiamah, 66, pula bersyukur kerana tanah yang didudukinya sejak lebih 40 tahun lalu kini sah menjadi miliknya.
��Pemberian tanah ini adalah bukti bahawa kerajaan membantu kami terutama saya yang sudah tua dan kurang berkemampuan untuk membayar premium yang tinggi.
��Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya telah memiliki tanah untuk diwariskan kepada anak-anak," jelasnya.
0 Komen