30 Mac 2013
Ini berikutan kenyataan Koo Ham menerusi laman twitternya yang berbunyi “Beruas Indian leaders say the days where BN (Barisan Nasional) can buy Indian votes with sarees, Milo, beer and mutton curry are over.”
Naib Pengerusi DAP cawangan Ladang Paroi, David Dass Asserpatham berkata, masyarakat India khususnya ahli DAP masih menganggap kata-kata Koo Ham itu sebagai satu penghinaan besar.
“Dahulu mereka begitu lantang dalam isu novel Interlok sedangkan hanya ada satu perkataan dalam novel itu yang menghina kaum India.
“Tapi malangnya di mana suara pemimpin DAP khususnya kaum India yang selama ini begitu lantang menentang isu novel Interlok sedangkan isu Koo Ham yang jauh lebih menghina masing-masing berdiam diri,” katanya dalam satu sidang media diadakan di sini, semalam.
Menurutnya, hal itu jelas menunjukkan pemimpin parti itu hanya lebih mementingkan parti berbanding memperjuangkan kepentingan rakyat secara keseluruhan.
David berkata, sikap pemimpin seperti itu wajar dipersoalkan oleh rakyat khususnya kaum India kerana mereka inilah yang akan mewakili suara kaum itu kelak.
“Saya berharap rakyat bijak menilai dan tanya pada diri sendiri adakah calon seperti ini hendak dipilih mewakili kita.
“Jadi saya mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang supaya mengambil tindakan terhadap Koo Ham,” katanya.
Hadir sama Pengerusi DAP Cawangan Taman Desa Dahlia, Richard Francis dan Setiausaha cawangan berkenaan, S Karthiayaini.
Pada sidang media tersebut mereka turut mengemukakan bukti mengenai dakwaan 753 daripada 2,576 perwakilan tidak dapat mengundi dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu Disember lalu.
Mereka mengakui tidak menerima surat jemputan itu walaupun pernah menerima surat makluman program DAP lain menggunakan alamat rumah masing-masing.
Francis berkata, setiap cawangan yang mempunyai ahli sekurang-kurang 50 orang boleh menghantar tiga perwakilan dalam pemilihan 15 Disember lalu.
“Tapi cawangan saya tidak menerima sebarang dokumen dari pejabat DAP negeri untuk membaharui pendaftaran cawangan, sekali gus menyebabkan tiga perwakilan dari cawangan saya tidak dapat menjadi perwakilan ke pemilihan parti.
“Setiap kali masalah ini ditanya kepada pejabat DAP negeri, alasan berlaku kesilapan teknikal seperti kesilapan komputer menyebabkan surat tak dapat dihantar,” katanya.
Sementara itu David mendakwa, masalah itu berkemungkinan disengajakan bagi membolehkan kumpulan tertentu menang dalam pemilihan yang dibuat semasa kongres berkenaan.
“DAP kini bukan lagi parti demokrasi tetapi parti drama yang dibarisi pelakon handalan dengan Pengerusi DAP Karpal Singh diperkudakan oleh Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng,” katanya.
0 Komen