Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Mengharap sinar untuk Wafiy

Dikirim oleh Warieh Rabu, 20 Mac 2013


SARINAH MAT KASIM
19 Mac 2013
Mengharap sinar untuk Wafiy
Adli menunjukkan anaknya yang tidak berdaya akibat penyakit yang dihidapi.
Mengharap sinar untuk Wafiy
Wafiy terpaksa menggunakan kerusi roda khas untuk menampung lehernya yang lembik kerana tidak mampu untuk mengangkat kepala.
SEREMBAN – Bibirnya kelihatan sentiasa mengukir senyum, namun sesekali merengus kesakitan akibat menahan sakit yang dialami.

Jika bayi yang berusia setahun lapan bulan sepertinya sudah boleh berjalan bahkan berkejar-kejaran dengan ayah dan ibu, lain ceritanya dengan Ahmad Wafiy Adli Isham.

Dia yang mengalami sakit urat saraf lembik dari leher hingga ke pinggang itu, tidak mampu mengangkat kepala dan badan akibat tulang belakang dan saraf di bahagian belakangnya terlalu lembik.

Menurut bapanya, Adli Isham Abas, 35, dia dan isteri mula menyedari perubahan pada Wafiy ketika bayi malang itu berusia empat bulan.

“Tak seperti bayi lain, Wafiy hanya terbaring dan tak aktif. Dia bukan sahaja tidak boleh bergerak, malah tidak mampu meniarap,” katanya.

Bimbang dengan keadaan anak mereka itu, Adli dan isteri, Norliyana Abdullah, 25, segera membawa Wafiy ke hospital sebelum dirujuk kepada doktor pakar.

“Setelah semua proses rawatan dijalankan, termasuklah membuat pemeriksaan melalui teknologi Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), akhirnya doktor mengesahkan Wafiy menghidap penyakit urat saraf lembik, yang tidak diketahui bila ia akan sembuh.

“Walaupun pilu hati untuk menerima kenyataan ini, namun saya reda kerana itu adalah ketentuan ALLAH SWT kepada saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Rakyat Panchor, Paroi, di sini.
Berhenti beli ubat sebab tak mampu

Kata Adli, anaknya itu juga terpaksa bergantung kepada sebuah kerusi roda khas, yang disumbangkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun lalu sebagai kemudahan untuk membawanya berjalan.
Tambahnya, akibat tulang belakang dan leher yang terlalu lembut, Wafiy tidak mampu berdiri tegak seperti kanak-kanak lain, dan terpaksa menggunakan kerusi roda khas itu untuk keluar.

“Dalam sebulan, sekurang-kurangnya kami perlu menyediakan wang sebanyak RM2,000 untuk membeli ubat untuk Wafiy, di mana setiap satu set ubat itu mempunyai empat botol yang boleh bertahan tidak sampai dua bulan.

“Namun akibat kesempitan hidup saya terpaksa menghentikan sementara bekalan ubat untuk Wafiy, dan menunggu jika berjaya memperolehi sumbangan daripada mana-mana pihak,”  katanya yang bekerja sebagai pembancuh air di sebuah kedai makan dengan pendapatan RM30 sehari.

Menurut Adli, dia kini dalam usaha meminta bantuan daripada NGO, syarikat-syarikat dan individu untuk mendapatkan wang bagi membeli ubat anaknya.

Tidur malam sentiasa terganggu

Dalam pada itu Norliyana memberitahu, memandangkan dia tidak bekerja, dia menjaga dan memantau Wafiy sepanjang waktu kerana bayinya itu juga mudah mengalami kejang otot.

Katanya, akibat tidak mengambil sebarang ubat, anaknya itu akan mudah kejang, selain sering demam panas, batuk dan selesema.

“Setiap malam sebelum tidur dia akan merengek-rengek mungkin sakit di tulang belakang, dan pada masa itu saya akan mengurut badannya perlahan-lahan bagi mengurangkan rasa sakit.

“Bila dia rasa lega, barulah dia boleh tidur, itu pun bergantung juga kepada tahap daya badannya. Jika rasa lemah dan sakit-sakit, tidurnya pasti akan terganggu,” katanya.

Menurut Norliyana, dia dan suami sentiasa berdoa agar penyakit anaknya ini akan sembuh walaupun tidak pasti bilakah masanya.

“Kami yakin, pasti ada sinar harapan untuk anak saya sembuh, walau pun kami sendiri tidak tahu bila waktu itu. Apa yang pasti, kami akan terus berdoa dan memohon kepada tuhan agar memudahkan segala urusan kami, agar dapat menjaga Wafiy dengan sempurna,” katanya.

0 Komen

Catat Ulasan

Kalau raso nak komen boleh yor...mano la tau kot-kot ado yang ngomen eh tue ado pakedah eh pado warieh yang lain.. bilo dah ngomel tue tanggungjawab sendiri la yor..

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook