Mohamad Hasan menunjukkan aksi menendang bola ketika kali pertama mencuba menggunakan rumput tiruan fieldturf yang telah siap dipasang di padang Kombes, Seremban, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali berkata, kerja memasang padang sintetik itu bermula pada 10 Januari lalu dan telah siap 1 Mac lalu dengan menelan belanja lebih RM2.4 juta.
''Ia merupakan rumput sintetik fieldturf yang pertama digunakan atas padang di negara ini yang mula dipasang di Kompleks Belia dan Sukan (Kombes) Paroi dan memenuhi piawaian ditetapkan.
''Padang sintetik jenis fieldturf ini lebih mudah diuruskan berbanding rumput asli, yang mudah rosak akibat penggunaan aktif malah ia mempunyai tahap kepudaran yang rendah iaitu 15 tahun penggunaannya," kata beliau.
Baharudin berkata, padang sintetik jenis fieldturf boleh digunakan dalam pelbagai keadaan cuaca sama ada panas atau pun hujan.
Tambah beliau, padang jenis itu mempunyai jangka hayat yang tinggi antara lapan hingga 15 tahun dengan tempoh jaminan sehingga lapan tahun.
''Selain boleh digunakan dalam pelbagai keadaan cuaca, rumput sintetik ini lebih murah kos penyelenggaraan berbanding rumput asli, malah kelab bola sepak England sudah menggunakan rumput jenis ini untuk tujuan latihan mereka," katanya.
''Saya yakin dengan adanya kemudahan di kompleks ini, para belia dapat mengisi masa lapang mereka di samping dapat mengatasi masalah gejala sosial yang semakin berleluasa pada masa kini," katanya.
Tambah Baharudin lagi, pembinaan padang bola sepak sintetik merupakan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, pelbagai program akan diadakan pada hari perasmian itu termasuk perlawanan bola sepak, persembahan artis seperti Tomok, papa rock, Ramli Sarip dan beberapa artis yang lain.
''Pengunjung bertuah juga akan menerima bola secara percuma sepanjang berlangsungnya majlis perasmian itu," katanya.
Baharudin berkata, negeri ini amat bertuah kerana bukan sahaja telah disediakan sebanyak 154 gelanggang futsal tetapi ditambah lagi dengan padang sintetik.
Tambah beliau, amat diharapkan agar orang ramai menggunakan semua kemudahan disediakan agar tidak menjadi satu pembaziran.
''Ini adalah kemudahan kelas pertama yang disediakan kepada orang ramai seperti hasrat kerajaan iaitu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.
''Saya menjemput orang ramai untuk memeriahkan majlis perasmian yang diadakan pada Rabu ini," katanya.
Menurut beliau, padang tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dijangka turut hadir.


0 Komen