26 Mac 2013
Walau bagaimanapun, sehingga kini pembinaan tangki itu belum dibina dan apa yang lebih membimbangkan apabila batu konkrit dari tangki itu diletakkan di hadapan sebuah rumah penduduk.
Penghuni rumah terbabit, Datuk Umbi Ramli Md Yosof, 58, berkata, tindakan pihak kontraktor meletakkan batu konkrit di tebing hadapan rumahnya boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk dan kanak-kanak.
“Pihak terbabit telah membuka tangki itu pada bulan Januari lalu tetapi masih belum ada apa-apa tindakan yang diambil.
"Saya faham mungkin mereka mengambil masa yang lama untuk membina tangki baru namun perlulah mementingkan ciri keselamatan. Ini tidak, batu konkrit disendengkan ke tebing," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya lagi, apabila hujan tebing tanah depan rumahnya akan runtuh dan ia mendatangkan bahaya sekiranya batu konkrit itu runtuh bersama.
“Kita tidak mahu perkara buruk berlaku, jadi sebelum ia terjadi, lebih baik mencegahnya. Oleh itu, saya berharap pihak kontraktor dapat mengambil batu konkrit itu dan diletakkan ke tempat lain,” katanya.
Ramli yang juga Pengerusi Rumah Rakyat Padang Lebar berkata, apabila tiada tangki air, gangguan bekalan air sering berlaku dalam tempoh seminggu.
“Bila bekalan air kecil, rumah rakyat yang terletak di atas bukit akan hadapi masalah gangguan air. Jika sebelum ini, ada tangki, dapatlah bertahan dua tiga hari, tetapi kini terpaksa menadah air hujan ataupun panggil pihak Syarikat Air Negeri Sembilan menghantar air.
“Penghuni rumah di sini lebih dari 100 orang melibatkan 50 rumah. Bila musim perayaan, penggunaan jumlah air bertambah. Jadi, saya berharap pembinaan tangki dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan, jumlah meter padu air tangki terbabit ialah 90.9 meter padu.
0 Komen