28 Mac 2013
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu perlu memandangkan masyarakat kini sudah berani mencemuh anggota tentera dengan pelbagai gelaran.
“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku dan pesara tentera boleh memainkan peranan mereka untuk menyedarkan masyarakat terutamanya golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Bekas Anggota Perisai Kuala Lumpur (Kebal) ke-11 dan Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Rejimen Ke-2 Kor Armor DiRaja, Kem Sunggala, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Kor Armor, Brigadier Jeneral, Datuk Mohamad Batcha dan Presiden Kebal, Mejar Jeneral (bersara) Datuk Mohd Yunus Long.
Mohamad berkata, tanpa perjuangan perajurit dan pejuang yang bersara negara tidak mungkin berada dalam keadaan aman.
“Jiwa perwira dan semangat patriotik tidak pernah terpadam walaupun sudah lama bersara di mana kebanyakannya mereka hari ini dilihat menyambung khidmat dalam komuniti.
"Walaupun perjuangan tersebut di dalam keadaan berbeza, namun khidmat bakti tetap dicurahkan demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengalu-alukan agar Kebal mewujudkan ibu pejabatnya di sini, dan mencadangkan memilih Port Dickson agar dapat mengembalikan memori semua anggota yang menjalani latihan sebelum berkhidmat.
Sementara itu, Mohd Yunus berkata, Kebal yang ditubuhkan sejak 13 tahun lalu, berkembang sebagai sebuah entiti dan persatuan badan bukan kerajaan yang aktif.
Menurutnya, Kebal yang ditubuhkan tanpa mengira latar belakang, agama dan budaya bertujuan mengekalkan semangat perjuangan serta setia kawan di samping mengadakan pelbagai aktiviti untuk bertemu setiap ahlinya.
“Semangat setia kawan adalah salah satu sifat atau amalan yang dituntut dalam perkhidmatan ketenteraan. Kini ahli kebal sudah mencecah 800 orang.
“Ianya tidak terkecuali dalam Kor Armor Diraja (dahulunya Federation Regiment, Federation Armoured Car Regiment, Kor Peninjau Diraja dan Kor Kavalti Diraja), yang mempunyai anggota berbilang kaum,” katanya.
0 Komen