Tujuh keluarga buat demonstrasi
16 Mac 2013
Manikam (dua, kanan) bersama beberapa penduduk menunjukkan jubin yang pecah di kediamannya.
Penduduk Taman Desa Putri yang membuat bantahan aman mengenai kerosakan rumah mereka, semalam.
Penduduk mendakwa keadaan itu berlaku selepas tamat tempoh jaminan jual beli rumah sekitar tiga hingga empat lalu.
Penduduk, Lee Choom Pin, 50, berkata, penghuni hanya sempat menikmati keindahan rumah berkenaan sementara waktu sahaja sebelum timbulnya kesan rekahan di bahagian dinding, lantai dan siling rumah.
“ Saya mula membuat pembayaran rumah terbabit pada September 2008 kemudian pada November tahun lalu lantai jubin rumah ini retak dan pecah secara tiba-tiba.
“ Apa yang mengecewakan kenapa tidak sampai empat tahun sudah ada banyak yang rosak. Lihat sahaja bahagian jubin di ruang tamu kami begitu teruk,” katanya ketika ditemui, semalam.
Jirannya, R.Manikam, 64, berkata, dia membeli rumah itu dengan harga RM128,000. Namun harganya seperti tidak setimpal dengan hasil yang diberikan berikutan jubin lantai bahagian dapur rumahnya kini pecah dan retak.
“Jubin ini apabila diketuk bunyinya kosong, seolah-olah tiada isi kemudian ia akan retak ataupun pecah tanpa disedari. Bukan saya sahaja yang mengalami masalah ini,” katanya
Penduduk, R.Thiruselva, 32, berkata, dia mahu pihak bertanggungjawab segera mengambil tindakan terhadap masalah yang berlaku itu kerana ia menyusahkan penduduk.
"Keadaan ini begitu membahayakan keluarga terutamanya anak-anak yang terpaksa berhadapan dengan situasi ini siang dan malam,” katanya.
Suri rumah, Lee Sau Fong, 50 berkata, sebelum ini pemaju sudah memutuskan untuk membaik pulih kerosakan rumah penduduk ketika perjumpaan sebelum sambutan Tahun Baru Cina yang lalu.
“ Sekarang lain pula jadinya, janji tinggal janji. Macam mana mahu hidup dengan rumah yang rosak kemudian terpaksa pula menanggung kos baik pulih sedangkan kesalahan ini bukan daripada pembeli,” katanya.
Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas pihak pemaju gagal apabila pihak berkenaan tidak dapat dihubungi.


0 Komen