Lonjak kebolehpasaran siswazah
MOHAMED Khaled Nordin (tengah)
bersalaman dengan sebahagian pelajar selepas pada majlis pelancaran
ICoE Bioteknologi diManipal International University di Nilai, Negeri
Sembilan, semalam.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ICoE adalah kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) dengan pemain industri yang antara lain bertujuan melahirkan siswazah yang benar-benar menepati kehendak pasaran.
Beliau berkata, kerjasama itu diharap dapat memastikan kesesuaian yang berterusan antara sukatan pelajaran dengan pembangunan industri serta pembangunan dan penyelidikan di samping menarik komitmen industri yang lain untuk turut serta dalam membangunkan ICoE dengan IPT.
"Sehingga kini, indikator umum menunjukkan tahap kebolehpasaran siswazah adalah sekitar 75 peratus selepas enam bulan mereka menamatkan pengajian malah dalam sesetengah kes kurang daripada tempoh tersebut.
"Ini adalah baik memandangkan sesetengah negara meletakkan tempoh sehingga dua tahun mereka akan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan," katanya selepas melancarkan ICoE Bioteknologi di Manipal International University (MIU) di Nilai dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ab. Rahim Md. Noor; Naib Canselor MIU, Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Yasin dan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.
Mohamed Khaled memberitahu, ICoE ditubuhkan berdasarkan kepada empat kluster Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) iaitu elektrik dan elektronik, automotif, pemborongan dan peruncitan serta minyak dan gas.
Tambahnya, tiga kluster lagi iaitu bioteknologi, pembinaan dan ICT akan diwujudkan tahun ini.
"ICoE Bioteknologi ditubuhkan dengan MIU dan UMP yang akan menjadi peneraju bersama pemain industri bioteknologi iaitu Biocon Limited, CJ Bio Malaysia dan Malaysian Bio-XCell untuk membangunkan modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengkomersialan dalam sektor tersebut," ujarnya.


0 Komen