Semua tertuduh
Semua tertuduh ketika hadir ke Mahkamah Majistrest Seremban, semalam.
SEREMBAN – Enam lelaki termasuk dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini, atas tuduhan bergaduh di tempat awam.

Tertuduh, R. Mogan Raj, 20, bersama bapanya, C Ravichandran, 47, dan empat orang lagi iaitu RA Raviberakas, 18; J Thanarajan, 22; G Mugilvaannan, 21 serta T Suseh, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamad Noh.

Mengikut pertuduhan, mereka melakukan pergaduhan dengan memukul menggunakan kerusi plastik di tempat awam.

Kejadian itu berlaku kira-kira 6.30 petang 7 April lalu di No 63 Jalan Besar Pajam, Mantin.

Sehubungan itu, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Raviberakas, Thanarajan, Mugilvaannan dan Suseh diwakili peguam, Philips Yeow, manakala Mogan serta bapanya tidak diwakili peguam.

Raviberakas dan Mugilvaannan juga merupakan pelajar sebuah kolej.

Semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah dan tarikh sebutan semula kes pada 23 Mei ini.