banjir
Penduduk membersihkan kawasan rumah, semalam selepas dinaiki banjir lumpur malam kelmarin.
GEMAS – Penduduk di Kampung Sri Gemas, dekat sini, kecewa apabila kejadian banjir kilat berulang lagi, malam kelmarin.

Penduduk, Chua Hock Ping, 36, berkata, hujan lebat bermula lewat petang menyebabkan kira-kira 30 rumah dinaiki air seawal jam 8 malam.

Menurutnya, lebih dikesalkan apabila air berkenaan turut membawa lumpur sehingga menyebabkan penduduk berhadapan kesukaran untuk membersihkan rumah masing-masing terutama kediaman dihuni warga emas.

M Kumar, 46, pula berkata,  mereka terpaksa menunggu banjir kilat surut selama satu jam lebih dan berasa sangat gelisah apabila kawasan rumah seolah-olah menjadi seperti sungai.

“Saya menyewa di sini sejak 10 tahun lalu. Namun, kejadian banjir lumpur ini sudah banyak kali berlaku dan tahun ini sahaja, sudah dua kali.

“Oleh itu, kita menyarankan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan proaktif untuk mengatasi masalah ini terutama membabitkan pembetung kecil dan sistem saliran di sini yang tidak mampu lagi menampung aliran air dari taman perumahan di bahagian atas," katanya.