14 April 2013
Keadaan diri yang kurang sempurna tidak menghalang Mohd Hidzir datang ke pejabat Sinar Harian di Seremban dari Rembau bagi menyatakan sokongannya kepada Barisan Nasional.
Walaupun perlu bersusah payah menunggang motosikalnya dari Rembau ke Seremban, namun Mohd Hidzir Othman sanggup berbuat demikian kerana mahu pengharapannya terhadap BN dikongsi dengan pembaca Sinar Harian.
Dia yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Negeri Sembilan berkata, tiada sebab rakyat tidak lagi menyokong BN kerana telah terbukti parti itu mampu mentadbir dan memerintah negara dengan baik.
“Jadi saya menyeru kepada rakyat Malaysia agar menyokong dan mengundi BN pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) kerana telah terbukti rekod pemerintahannya sejak 55 tahun memerintah.
“Kita bukan sahaja dapat hidup dalam keadaan aman tetapi banyak perubahan sama ada dari aspek pembangunan ataupun kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai pelan transformasi yang dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, BN bukan sahaja parti yang memperjuangkan nasib rakyat, tetapi sebagai sebuah parti yang mampu menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini.
Mohd Hidzir berkata, rakyat sepatutnya bersyukur dengan terus menyokong BN pada PRU13 ini kerana pilihan raya kali ini adalah penentu masa depan negara.
“Saya rasa jika ditakdirkan Pakatan Rakyat (PR) memerintah Malaysia, negara kita akan hancur dan musnah.
“Kita lihat sendiri bagaimana huru-haranya negeri di bawah PR. Malah janji manifesto mereka masih tidak dapat ditunaikan sehingga kini. Jadi, kita sepatutnya bersyukur berada di bawah kerajaan BN,” katanya.


0 Komen