16 April 2013
Ngadiman (kiri), Zailani (tengah) dan Hashimuddin melihat set borang penamaan calon.
Bapa enam cahaya mata, Zailani Zakaria, 48, mengakui hasrat bertanding dalam PRU ini terbuku sejak PRU12 lagi.
Zailani yang sebelum ini merupakan penyokong tegar Umno (BN) Dun Jeram Padang memilih menjadi calon bebas kerana mendakwa kecewa dengan pemimpin sebelum ini.
Menurutnya, terdapat beberapa permintaan kecil penduduk sekitar Felcra Rompin amnya tidak dipenuhi terutamanya kemudahan asas.
“Ketika PRU12, pemimpin sedia ada berjanji akan menunaikan permohonan penduduk berkaitan kemudahan asas seperti lampu jalan tetapi sehingga kini kami terpaksa melalui jalan gelap sepanjang lapan kilometer untuk sampai ke perkampungan.
“Tetapi isu yang paling utama sekali ialah soal tanah, dahulu setiap peneroka memperoleh 10 ekar tanah, yang kini tinggal lapan ekar, entah mana silapnya, " katanya.
Zailani berkata, keputusan itu diambil bagi membela nasib penduduk kampung khasnya orang Melayu supaya sama-sama memperoleh kemudahan yang sewajarnya termasuklah kebajikan mereka.
Beliau bagaimanapun akan menarik diri dari bertanding jika BN meletakkan calon dari kalangan orang Melayu kerana sebelum ini Dun Jeram Padang dipegang calon daripada MIC.
Zailani juga yakin BN- Bebas Dun Jeram Padang mempunyai sokongan 50-50 dan tidak mustahil akan memecahkan undi pada PRU13 ini.
“Saya tahu akan ada kritikan selepas ini mengenai pencalonan saya, sama ada mereka berpuas hati atau sebaliknya, namun saya tidak akan mengalah dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Hashimuddin Udin, 49, berkata, dia menyokong penuh usaha rakannya itu dan mahu perubahan berlaku pada PRU13 ini.
Seorang lagi rakannya, Ngadiman Hussin, 54, juga berharap Zailani menang dalam PRU13 sekali gus memberi nafas baru buat penduduk sekitar Dun Jeram Padang.
Untuk rekod, Zailani mendiami Felcra Belia Rompin B hampir 28 tahun, kemudian bertindak keluar pada 2000 bersama 99 lagi peneroka.
Zailani mengambil borang penamaan calon bagi Dun pada Jumaat lalu.


0 Komen