25 April 2013
Ariffin (duduk, dua dari kanan) bersama barisan penduduk Kampung Bari, Charik dan Kelapi membantah kehadiran pihak pembangkang di kampung mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bari, Charik dan Kelapi, Ariffin Ayut berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mempergunakan Orang Asli di sini seperti didakwa parti berkenaan.
“Kawasan Miku bukan dalam Daerah Kuala Pilah sebaliknya Daerah Rembau dan tidak ada kena-mengena dengan kami.
“Kami mahu teruskan projek ladang bagi meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli di Kampung Kelapi, Bari dan Charik pada masa hadapan,” katanya ditemui di Pusat Daerah Mengundi Bari, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Masyarakat Orang Asli, Ayot Man Uluban.
Ariffin berkata, kerajaan negeri sudah membuat keputusan yang tepat selaras dengan kehendak masyarakat Orang Asli.
“Harapan kami, semoga Pas tidak mengganggu projek tersebut yang sedang dilaksanakan. Segala kebajikan kami dijaga baik oleh kerajaan pimpinan BN.
“Kami sebulat suara berjanji susah senang bersama BN. Ini kerana kerajaan di bawah pimpinan, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membantu kami dari segi kemudahan dan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga tidak bersetuju di atas tindakan sesetengah pihak yang menghalang projek tersebut dilakukan.
“Kami membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak yang menghalang projek berkenaan.
"Bukan suka-suka Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hendak beri kelulusan membina ladang rakyat dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
“Saya dan JKKK sudah mohon membina ladang di perkampungan Orang Asli banyak kali dan dibantu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). Kami rela hutan ditebang dan digantikan dengan pokok getah kerana ia lebih menjamin masa depan selain meningkatkan pendapatan kami semua,” katanya.
Katanya, penduduk kampung perlu melakukan perubahan dengan mencari alternatif untuk menambah pendapatan.
“Kami tidak mahu bergantung kepada carian akar kayu dan hasil hutan kerana sumber itu makin lama makin pupus. Jadi bila sampai satu tahap, masyarakat Orang Asli masih di kepompong miskin tegar.
“Jadi, untuk elak perkara itu berlaku, kami bersetuju ladang rakyat dilakukan di sini demi menjamin masa depan kami.
Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada pihak pembangkang kerana mengambil berat nasib kami,” katanya.
Pada 17 April lalu, Sinar Harian melaporkan ahliPas membantah penerokaan hutan yang didakwa mereka dilakukan secara haram sejak tiga tahun lalu.


0 Komen