18 April 2013
Mohamad (dua, kiri) ketika menjelaskan isu penerokaan hutan di Kuala Pilah yang ditimbulkan pemimpin dan ahli Pas, semalam.
Menurut Mohamad, tuduhan itu bukan saja satu tohmahan kerana tidak berlaku pun sebarang penerokaan secara haram, malah kawasan ditunjukkan sekumpulan ahli parti ketika membuat bantahan kelmarin, bukanlah Hutan Simpan Kekal Miku seperti didakwa mereka, sebaliknya Hutan Simpan Johol.
“Julai tahun lalu, pihak berkuasa negeri meluluskan satu Projek Ladang Getah Timber Latex Clone bagi tujuan meningkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli sekitar Kampung Charik dan Kampung Bari menerusi projek di kawasan Hutan Simpan Johol.
“Projek itu sejajar dengan keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-68 yang membenarkan sehingga lima peratus keluasan kawasan hutan pengeluaran dalam hutan simpan kekal dibangunkan dengan projek ladang hutan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan kawasan itu dijalankan secara sah mengikut undang-undang, di mana lesen pembalakan dikeluarkan kepada kontraktor terbabit, dan kelulusan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan sebagai agensi bertanggungjawab serta mendapat bantuan daripada Risda.
“Projek ini membabitkan 410 hektar kawasan hutan daripada 155,000 hektar kawasan hutan simpan di Negeri Sembilan dan ia telahpun dipersetujui MTN. Malah, yang mengusahakannya adalah koperasi Orang Asli," katanya.
Menurutnya, usaha kerajaan negeri itu adalah proses membangunkan kawasan Orang Asli dan lebih 200 isi rumah masyarakat di situ dijangka mendapat manfaat menerusi projek dilaksanakan.
“Tujuan kita adalah meningkatkan ekonomi Orang Asli dan dasar yang kerajaan buat adalah merizabkan semua kawasan kampung Orang Asli sebagai gazet kampung tradisional Orang Asli dengan dimajukan sebagai kawasan pertanian estet berkelompok, yang diuruskan JAKOA dan agensi kerajaan yang terlibat menerusi projek tanaman getah klon balak.
“Cuma Pas tidak faham apa yang kita sedang buat sekarang,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan bangunan baru empat tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Sungai Salak Seremban Jaya, di sini semalam.
Mohamad berkata demikian merujuk kepada tindakan ahli Pas diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani membuat bantahan kerana menyangkakan projek itu dilakukan secara haram.
Sementara itu, berhubung satu lagi dakwaan Pas yang mengatakan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan janji membina Hospital Rembau, Mohamad berkata, Pas dilihat terdesak mencari isu.
“Fikirlah sebelum buat apa-apa. Janganlah terdesak sangat kerana saya sudah jelaskan sebelum ini projek itu dijalankan berperingkat,” katanya.


0 Komen