REMBAU 17 April - Penyokong parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dinasihatkan agar mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mizan Md. Dom berkata, sikap patuh terhadap undang-undang penting bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku seperti pergaduhan dan merosakkan bahan kempen.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes merosakkan bahan kempen dan pergaduhan.
Katanya, hasil pemantauan yang dijalankan mendapati terdapat bahan kempen seperti bendera tercabut dan rosak di beberapa tempat di daerah ini.
''Bagaimanapun siasatan mendapati ia berpunca akibat bencana alam seperti angin dan hujan, bukan dirosakkan oleh mana-mana pihak atau individu tertentu.
''Saya juga ingin menasihatkan semua penyokong parti agar tidak mengambil keputusan sendiri dan segera membuat laporan polis sekiranya timbul sebarang permasalahan bagi membolehkan siasatan dijalankan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di sini hari ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130418/ws_08/Penyokong-parti-dinasihat-patuhi-peraturan-berkempen---Polis#ixzz2QmRglGJQ
© Utusan Melayu (M) Bhd


0 Komen