29 April 2013
Hasim (kanan) bersalaman dengan Khairil Anwar selepas selesai proses penamaan calon baru-baru ini.
Barisan Nasional (BN) meletakkan penyandangnya, Datuk Hasim Rusdi sebagai calon di kawasan tersebut, yang akan berdepan dengan Ketua Pemuda Pas negeri, Mohd Khairil Anwar Wafa.
Hasim yang juga merupakan Setiausaha Umno Perhubungan negeri berpendapat, saingannya pada kali ini merupakan sesuatu yang dijangka dan telah pun bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi PRU kali ini.
Katanya, beliau yakin dapat mengekalkan kerusi tersebut memandangkan calon Pas merupakan calon import dari luar.
“Dia (Mohd Khairil Anwar) bukan anak tempatan Labu, malah dia juga bukan pengundi Dun ini, maka saya yakin itu adalah kekuatan bagi saya untuk bersaing dengannya.
“Saya yakin masyarakat tidak akan memilih orang luar menjadi wakil rakyat mereka kerana khuatir individu yang datang dari luar itu sukar untuk ditemui kelak.
“Lebih baik mereka pilih saya kerana sudah jelas saya tinggal di Labu, keluarga saya di Labu, anak menantu saya di Labu,” katanya.
Hasim berkata, pengundi di Dun Labu dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan janji yang ditabur oleh Pakatan Rakyat (PR) kerana bimbang ia akan menyebabkan pengundi kecewa berikutan segala janji yang diungkap tidak mampu ditepati.
Namun bagi Mohd Khairil Anwar pula, bukan anak tempatan merupakan satu perkara yang tidak seharusnya menjadi isu mahu pun bahan berkempen parti lawan, agar menolak dirinya.
Menurutnya, jika dilihat pada zaman Rasullah SWT, baginda sendiri bukanlah anak tempatan Madinah, kerana dilahirkan di Makkah, tetapi baginda dipilih oleh masyarakat pada waktu itu sebagai pemimpin mereka di Madinah.
“Maka saya berpendapat isu orang luar atau bukan pengundi tempatan, bukanlah satu isu besar kerana ianya langsung tidak mempengaruhi sokongan masyarakat terhadap saya.
“Saya yakin melihatkan kepada sokongan yang diberi oleh masyarakat sekeliling selama tempoh enam hari berkempen ini, kita pasti dapat merampas kerusi Labu dari tangan BN,” katanya.


0 Komen