30 April 2013
Mohd Ghazali menenangkan perasaan Juwita Rashid, 48, yang tidak dapat menahan sebak menerima kunjungan calon BN di Dun Paroi itu.
Beliau sebelum ini dikatakan kurang mesra bersama masyarakat setempat.
Mohd Ghazali berkata, mungkin dirinya calon baru menyebabkan terdapat kekangan, bagaimanapun ia tidak sama sekali dijadikan alasan untuknya berusaha menarik sokongan pengundi di kawasan itu bagi membolehkan BN merampas kembali Dun Paroi dari Pas.
“Sesiapa yang kurang mengenali saya, saya tidak salahkan mereka namun ada juga yang kenali saya dan boleh menerima.
“Saya akui kurang bercakap, tetapi saya amat pentingkan kerja. Beri peluang kepada saya. Saya akan kerja dengan lebih kuat untuk masyarakat dan pengundi di kawasan sekiranya diberi mandat pada 5 Mei nanti,” katanya.
Mohd Ghazali yang juga Ahli Majlis Perbandaran Nilai (MPN) berkata, sepanjang tempoh berkempen ini, dia hanya sempat tidur selama dua jam sahaja.
“Biarpun tidur hanya dua jam, namun fokus saya untuk memastikan kemenangan BN di Dun Paroi tidak terjejas.
“Kepercayaan pucuk pimpinan parti yang telah melantik saya sebagai calon BN di kawasan ini akan tetap diteruskan malah saya akan berjuang sehingga ke akhir garisan,” katanya.
Mengulas mengenai fokusnya untuk pembangunan di Dun Paroi katanya, kemudahan asas di Dun Paroi sememangnya sudah lengkap di bawah pentadbiran kerajaan negeri BN sebelum ini namun mungkin berkaitan dengan tempat-tempat rekreasi keluarga ia perlu diperhebatkan.
“Sekiranya setiap kawasan perumahan mempunyai laluan jogging, ia adalah lebih baik supaya masyarakat di Dun Paroi ini boleh beriadah bersama keluarga di samping menjaga kesihatan,” katanya.


0 Komen