30 April 2013
Abu Samah (dua, kanan) berkata sesuatu ketika menziarahi penduduk, Mok Yee (tengah), di kampung Baru Air Mawang.
Beliau berkata, semangat untuk tekad menang perlu diterapkan kepada jentera pilihan raya malah pengundi sekalipun.
“Apa yang pasti, kita mahu teruskan pemerintahan BN dan akan berusaha merancakkan Johol kepada pusat pentadbiran seperti mana waktu dulu. Pekan Johol dahulunya memiliki pusat pentadbiran bagi Kuala Pilah, tetapi apabila dipindahkan di Kuala Pilah, Johol sunyi.
“Jadi usaha membangunkan Johol, saya akan teruskan supaya ekonomi orang kampung dapat dipertingkatkan malah kawasan ini rancak dengan pelbagai bentuk pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Bilik Gerakan MCA Air Mawang kemudian mengadakan Walkabout di Kampung Baru Air Mawang serta deretan kedai di pekan berkenaan, baru-baru ini.
Menurutnya, semasa berkempen, beliau turut menyampaikan betapa pentingnya amalan membaca dan budaya ini perlu diterapkan kepada golongan kanak-kanak hingga dewasa.
“Saya minat membaca buku, kerana dari buku kita dapat timba pelbagai maklumat. Seharusnya amalan ini diterapkan kepada sesiapa jua.
“Selain itu, sebagai alat yang menggerakkan jentera BN, saya akan meneruskan kebajikan masyarakat supaya mereka tidak tercicir. Mereka yang layak akan diberi keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, semangat setia kawan amat penting jika mahu BN menang pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.
Menurutnya, beliau mengamalkan sentuhan peribadi dalam setiap hati pengundi dan sudah pasti pengundi adalah rakannya, jadi kesetiaan itu penting dalam perhubungan persahabatan.
“Tidak kira di mana jua saya jumpa mereka, adakalanya di kedai kopi, saya akan berbual dengan mereka tentang BN. Melalui pendekatan ini, mereka akan mengenali saya dengan lebih rapat.
“Kami bersyukur sekiranya BN menang kelak. Jadi, jentera kempen perlu sentiasa melakukan yang terbaik untuk PRU ini selain jangan terlalu leka sebaliknya lebih fokus kepada agenda yang perlu diutamakan,” katanya.
Abu samah berkata, perjuangan BN perlu diteruskan bagi memastikan segala perancangan untuk membangunkan Dun Johol tercapai.


0 Komen