22 April 2013
Mohamad bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat, di Kampung Batu, kelmarin.
Mohamad yang juga calon BN Dun Rantau berkata, beliau jarang meminta, melainkan memenuhi dan menyokong permintaan daripada semua.
“Kali ini saya minta agar semua pengundi di kawasan ini untuk keluar mengundi beramai-ramai pada hari pengundian 5 Mei nanti,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat, di Kampung Batu di sini, kelmarin.
Hadir sama, calon BN Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan setiap Ahli Jawatankuasa (AJK) Kenderaan yang ditugaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti agar memastikan kesemua pengundi yang berdaftar dapat diambil serta dikeluarkan.
“Ingatan ini penting agar tidak ada seorang di kalangan pengundi pun yang ketinggalan nanti,” katanya.
Di samping itu, Mohamad turut meluahkan rasa puas hati kerana kesemua calon yang dinamakan dalam PRU13 kali ini menunjukkan semangat juang yang begitu tinggi bagi mempertahankan kerusi dimenangi di samping keazaman untuk merampas semula kerusi Dun Paroi.
Katanya, Dun Paroi perlu dirampas semula oleh BN kerana kesan kekalahan tersebut amat mempengaruhi kedudukan Rembau.
“Oleh sebab itu semua jentera diingatkan agar membantu calon untuk mendampingi rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.


0 Komen