28 Mei 2013
Abdul Karim sedang melihat gambar lama semasa dia berkhidmat dalam tentera di rumahnya di Jalan Temiang, semalam.
Abdul Karim Ali, 53, berkata, sejak dia berhenti berkhidmat dalam tentera, dirinya semakin melarat ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Keadaan menjadi lebih kusut apabila dia bercerai dengan isterinya beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa merempat dan tinggal di sebuah rumah kosong yang terbiar, tanpa sebarang keperluan asas.
“Sejak saya berhenti dalam perkhidmatan 15 tahun lalu, hidup saya seperti tidak terurus, malah kebajikan saya juga tidak terjaga.
“Keadaan menjadi lebih huru-hara semenjak saya bercerai dengan isteri. Kini hidup saya tidak seperti orang lain, tinggal pun hanya di rumah kosong yang terbiar, tanpa sebarang keperluan asas,” katanya yang tinggal di Jalan Temiang, di sini.
Abdul Karim berkata, setiap malam dia tidur bertemankan cahaya lilin selain terpaksa berjaga jika diganggu anjing liar yang berkeliaran di kawasan rumah terbiar itu.
Katanya, hidupnya kini hanya bergantung kepada belas ihsan kawan-kawan yang sudi menghulurkan bantuan, sama ada belanja makan atau memberi sedikit wang untuk membeli makanan harian.
“Saya tidak mampu untuk bekerja, hendak berjalan pun kaki saya tidak kuat, dengan keadaan saya yang lemah sebegini tiada siapa yang mahu mengambil saya bekerja.
“Kini saya merayu kepada pihak berkaitan agar dapat membantu dan memberi sedikit perhatian kepada saya untuk meneruskan hidup,” katanya.
0 Komen