21 Mei 2013
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, sebuah kereta jenis Honda Civic dan van Mazda hangus terbakar dipercayai dilakukan individu lebih daripada tiga orang.
Menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, dia berkejar ke tempat kejadian sebaik sahaja terdengar letupan kuat di sekitar kawasan kedai makan di situ.
“Sebaik sahaja saya sampai di lokasi kejadian, saya dapati dua buah kenderaan sudah habis terbakar berdekatan dengan kedai makan.
“Saya terus bantu padamkan api di sekitar tempat kedai makan kerana bimbang apinya akan merebak ke dalam, namun mujur ia sempat dipadamkan sementara menunggu bomba datang kira-kira tujuh minit kemudian,” katanya.
Katanya, dia difahamkan kejadian berlaku antara dua kumpulan samseng yang saling berkejaran dari Taman Rasah Jaya sehinggalah ke Taman Blossom, sebelum bertindak membakar kenderaan yang ditinggalkan oleh salah sebuah kumpulan itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Zakaria Amat berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 3.40 pagi dan sampai ke lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.
Katanya, sejurus sampai ke tempat kejadian, api sudah pun marak. Bagaimanapun, pihaknya berjaya menghalang api daripada merebak ke deretan kedai makan berdekatan premis tersebut.
“Sebaik sahaja kita sampai ke lokasi, api telah pun marak ke dua-dua kenderaan tersebut, dan kita mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk mengawal kebakaran.
“Api berjaya dipadamkan secara keseluruhannya kira-kira jam 4.04 pagi,” katanya.
Tambahnya, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dan sebuah jentera telah keluar ke lokasi berkenaan untuk memadam kebakaran.
Jelasnya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
0 Komen