14 Mei 2013
Hanip Hassan, 45, berkata, dia tidak lagi bimbang memikirkan ketiga-tiga anaknya yang kini sudah meneruskan persekolahan atas keprihatinan Barisan Nasional dan guru besar sekolah.
“Sekarang saya masih menunggu kelulusan permohonan bantuan daripada JKM. Saya kurang pasti apa jenis bantuan yang selayaknya saya peroleh namun, amat berharap ia diluluskan dan boleh mengurangkan kos tanggungan keluarga,” katanya yang bekerja sebagai buruh kontrak.
Hanip berkata, dia juga sedang dalam usaha untuk memohon bantuan Baitulmal.
“Sebelum ini saya tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana agensi dan diakui kurang pengetahuan dalam menguruskan hal itu. Bagaimanapun, saya gembira kerana mendapat kerjasama dan sokongan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“JKKK membantu saya dalam menguruskan hal permohonan bantuan dan bantuan berbentuk keperluan asasi kepada keluarga saya baru-baru ini,” katanya.
Terdahulu Sinar Harian pada 4 Mei lalu menyiarkan keperitan yang dihadapi Hanip bersama isterinya, Sharifah Nora Hohd Saad,27, sedang mengandung enam bulan. Pasangan ini mempunyai empat anak, Nurul Aida,12, Noor Atikah, 11, Nurul Norhaniesha, 8, dan Nurrin Noor Mazlieyana, 2.
Disebabkan kesempitan hidup tiga daripada empat anak mereka tidak bersekolah.
Anak sulung, Nurul Aida berkata, dia akan belajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti.
“Saya tahu banyak ketinggalan pelajaran namun tidak akan patah semangat,” katanya.
Menurutnya, dia sangat teruja dapat kembali ke sekolah semula selepas setahun tidak memakai uniform dan menjejak kaki ke sekolah.
“Duduk di kelas dan belajar adalah perkara yang paling saya rindui sejak setahun lalu. Dan hari ini saya dapat bersekolah semula mempunyai rakan-rakan dan guru yang baik,”
katanya.
0 Komen