14 Mei 2013
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam kelmarin, mangsa, Lee Yoke Seng, 44, maut selepas kereta yang dipandunya di lorong paling kanan secara tiba-tiba berpusing melawan arus laluan di kilometer 228, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan empat buah kenderaan.
Sau Lan berkata, dia sebenarnya menyedari suaminya tidak sihat kerana wajahnya kelihatan pucat pada siang hari sebelum kejadian dan hanya meraikan sambutan Hari Ibu di kawasan berhampiran tempat tinggal mereka di Puchong Utama, Selangor.
“Pada masa itu, suami saya membawa saya dan anak tunggal saya, Lee Kai Szen, 12, ke restoran untuk meraikan saya. Bagaimanapun, saya mencadangkan kepada suami untuk pulang ke rumah sahaja selepas makan kerana dia nampak tidak sihat.
“Namun, suami saya sempat mengajak saya makan malam sekitar jam 6 petang dan membeli barangan kelengkapan dapur sebelum berehat sebentar di rumah lalu bergerak pulang ke Melaka sekitar jam 8 malam,” katanya.
Sau Lan berkata, semasa makan malam, suaminya ada makan ubat terlebih dahulu kerana kurang sihat dan bergerak pulang ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Melaka.
Bagaimanapun menurutnya, suaminya itu tidak menunjukkan sebarang kelainan, namun sempat meluahkan keinginan melihat anaknya bersekolah di sekolah berprestij tinggi semasa di tingkatan satu nanti.
“Anak tunggal kami bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini jadi suami harap anak dapat masuk sekolah katolik di Kuala Lumpur.
Namun, saya nyatakan bukan mudah ke sekolah sana kerana anak harus mendapat keputusan 7A.
“Bagaimanapun, dia amat yakin kerana anak kami sememangnya cemerlang dalam bidang pelajaran dan saya akan tunaikan hasrat suami saya untuk melihat anak kami melanjutkan sekolah di sekolah berprestij tinggi,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Polis berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dalam perjalanan menuju ke Ayer Keroh.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba kereta Saga FL yang dipandu mangsa di lorong paling kanan berpusing dan melawan arus.
“Susulan itu, sebuah kereta yang berada di lorong yang sama jenis Suzuki SX4 mengelak ke kanan jalan dan merempuh pengadang jalan. Bagaimanapun, kereta yang dipandu mangsa merempuh sebuah lagi kenderaan di lorong kanan iaitu jenis Toyota Prius.
“Rempuhan berkenaan menyebabkan kereta mangsa berpusing lalu merempuh sebuah lagi kenderaan di lorong tengah jenis Proton Saga BLM. Mangsa maut di tempat kejadian susulan mengalami kecederaan parah dan mayatnya di hantar ke HT untuk proses bedah siasat, " katanya.
0 Komen