23 Mei 2013
Mohamed Zainon (kanan) bersama seorang penduduk menunjukkan keadaan pagar masjid yang rosak.
Masjid yang dibina dengan kos RM5 juta itu siap kira-kira lima bulan lalu, tetapi masih belum digunakan oleh jemaah di kawasan berkenaan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid, Mohamed Zainon Mat Saman berkata, kejadian itu disedari pada Isnin minggu lepas apabila dia dan beberapa AJK lain melakukan rondaan pada waktu malam di sekitar masjid berkenaan.
“Ketika itu, kami lihat terdapat tiga lokasi pagar dirosakkan. Sebaik menyedari kejadian itu, kami terus membuat pemeriksaan di kawasan sekitar masjid.
"Kami menemui kesan tapak kaki berlumpur di kaki lima masjid. Mungkin pencuri itu melihat tiada apa yang boleh dicuri kerana masjid ini masih belum digunakan lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Bandar Springhill, Hamidon Othman berkata, beliau tidak menafikan ada kemungkinan penceroboh itu berniat untuk mencuri barang di dalam masjid.
“Tetapi apabila masuk didapati tiada apa yang boleh dicuri kerana masjid itu berkunci dan belum ada apa-apa barang yang berharga selain beberapa helai sejadah.
“Kami masih menunggu kebenaran daripada Jabatan Mufti untuk menggunakannya. Kami harap ia lulus dalam masa terdekat kerana bimbang kalau lebih lama lagi masjid ini dibiarkan kosong, pelbagai perkara buruk pula terjadi," katanya.
Katanya, segala kemudahan dalam masjid itu sudah siap sepenuhnya dan penduduk Islam di Bandar Springhill sudah tidak sabar untuk menggunakannya.
“Baru-baru ini penduduk kariah Bandar Springhill mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan masjid dan bacaan Yasin.
"Sambutan penduduk amat menggalakkan, mereka seperti sudah tidak sabar hendak menggunakan masjid ini,” katanya.
0 Komen