Projek Jalan Raya Lingkaran Tengah
Seremban (MRRS) dibina bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di
Bandar Seremban dan sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna
terutama pada waktu puncak.
Mengambil kira kawasan ini berdekatan dengan ibu negeri, Rahang kini berkembang pesat sehinggakan tempias pembangunan Seremban turut dinikmati dan semestinya memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.
Usaha memajukan kawasan ini oleh kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) dapat dilihat dan dirasai menerusi pembinaan Jalan Raya Lingkaran Tengah Seremban (MRRS) sekali gus merungkai permasalahan orang ramai bagi mengatasi kesesakan.
Pembinaan projek menelan belanja lebih RM200 juta ini sekali gus memadamkan rungutan orang ramai mengenai kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dan musim perayaan disebabkan mereka tiada pilihan lain untuk menggunakan laluan pusat bandar Seremban untuk melalui kawasan ini.
Laluan sepanjang lapan kilometer itu dibangunkan sejak 2006 dan siap dalam tempoh dua tahun membabitkan perbelanjaan lebih RM200 juta bagi Fasa 1.
Ia juga merupakan salah satu pendekatan kerajaan dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas memandangkan orang ramai terpaksa menggunakan laluan utama di bandar Seremban untuk ke kawasan ini.
BN juga dilihat terus memainkan peranan yang berkesan dalam menyelesaikan masalah rakyat khususnya berkaitan penempatan di Kampung Abok selepas kawasan asal itu dibangunkan untuk menjayakan pembinaan MRRS.
Sebanyak 100 penduduk di kawasan ini diberi tawaran rumah jenis rumah bandar dengan harga yang berpatutan iaitu antara RM50,000 dan RM52,000 berbanding tawaran asal sebanyak RM72,000.
Malah menerusi persetujuan yang dilakukan oleh kerajaan negeri, pembayaran rumah berkenaan boleh dibuat menerusi dua mekanisme sama ada membelinya secara terus atau sewa beli tanpa sebarang faedah berjumlah RM198.35 hingga RM191.70 sebulan .
Tidak terkecuali beberapa isu setempat yang lain turut berjaya diselesaikan membuktikan BN lebih kehadapan dalam menyelesaikan masalah dalam kalangan masyarakat dan bukannya seperti pembangkang yang meraih populariti murahan.
Dalam pada itu, calon BN Rahang bagi PRU-13, Julia Wong Pik Min memberitahu, usaha yang dilakukan oleh kerajaan membuktikan BN tidak pernah meminggirkan masyarakat di kawasan ini kerana matlamat utama adalah untuk kesejahteraan rakyat.
"Hari ini, jika kita masuk ke kawasan DUN Rahang, jalannya banyak yang berubah. Rahang juga rancak membangun dan penduduk sekitar mendapat banyak kemudahan seperti dewan orang ramai dan banyak lagi," ujarnya.
Kata Julia, pembangkang terutama DAP yang sebelum ini diberi peluang mewakili rakyat di DUN Rahang gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik dan banyak isu setempat diselesaikan oleh BN.
"Sebagai contoh, banyak keluhan diluahkan oleh masyarakat di Kampung Dato' Mansor yang mengadu mengenai masalah banjir di kawasan mereka, walaupun telah dimaklumkan kepada wakil rakyat terdahulu tetapi ia tidak dapat maklum balas yang baik dan mereka hanya tunjuk muka sahaja.
"Jadi kita di BN telah menyelenggara kawasan longkang berdekatan bagi memastikan masalah banjir dapat diatasi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan," tambahnya.
Turut dijelaskan mengenai rintihan masyarakat India di Kampung Pasir dekat sini yang memerlukan beberapa prasarana termasuk jalan raya di kawasan kampung itu dan hasilnya sebanyak RM450,000 telah diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan tersebut.
Malah turut disediakan tapak padang permainan kanak-kanak di kawasan berkenaan selain menyediakan gelanggang futsal bagi penduduk setempat menjalankan aktiviti riadah mereka yang menelan belanja lebih RM160,000.
"Tidak terkecuali sistem perparitan di kawasan ini turut diselenggara dengan kos sebanyak RM40,000 selain melaksanakan dasar pencahayaan di kawasan ini menerusi pemasangan 60 buah tiang lampu di sini," katanya.
Apa yang pasti katanya, beberapa kemudahan seperti dewan orang ramai bakal didirikan di Kampung Pasir itu dan sudah pastinya ia akan memberikan kemudahan kepada orang ramai bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan.
Jelas beliau, menerusi usaha yang dilakukan oleh BN membuktikan bahawa BN komited dalam menyelesaikan apa juga masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat tidak seperti pembangkang yang hanya melepaskan batuk di tepi tangga.
"Apa pembangkang buat di sini sepanjang lima tahun? Kuasa mereka mahu, tetapi untuk menyelesaikan masalah mereka longgokan dan salahkan BN, kalau begitu kenapa mahu menjadi wakil rakyat tetapi tidak berfungsi.
"Saya fikir sudah tiba masanya penduduk di kawasan DUN Rahang untuk berubah kerana tempoh lima tahun yang diberikan kepada pembangkang ternyata tidak membawa sebarang perubahan seperti yang dinyatakan sebelum ini," katanya.


0 Komen