1 Jun 2013
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson bergegas ke lokasi kejadian di Site C Tanah Merah sekitar jam 2.45 pagi.
Pemilik bengkel Wong Kok Yei, 50an berkata, kejadian hanya disedari apabila dia diberitahu oleh orang awam yang lalu di kawasan bengkelnya.
“Sebaik tiba di bengkel saya mendapati api sudah marak dan tiada barang yang boleh diselamatkan.
“Dalam kejadian ini terdapat dua motosikal milik pelanggan dan ia juga tidak dapat diselamatkan. Saya juga baru sahaja membeli barang-barang alat ganti motosikal serta minyak pelincir. Kesemuanya habis musnah,” katanya.
Kok Yei berkata, dia ada menyimpan 12 tong gas dalam bengkel motosikalnya.
“Mujur ketika kejadian, tong gas berkenaan tidak meletup, jika tidak pasti keadaan lebih bertambah buruk,” katanya.
Kok Yei yang membuka bengkel berkenaan kira-kira 20 tahun lalu berkata, petang sebelum kejadian dia menutup bengkelnya sekitar jam 6 petang.
“Bengkel ditutup seperti biasa dan semua bekalan elektrik telah ditutup. Saya tidak sangka kejadian ini boleh berlaku dan keseluruhan kedai musnah dalam kebakaran ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Ahmad Ezam Malek berkata, seramai 10 anggota dengan satu jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Bengkel motosikal berkenaan musnah secara keseluruhannya dan punca kejadian masih dalam siasatan bomba,” katanya.
0 Komen