Ditampar guru sekolah anak
Partheeban menunjukkan bagaimana Balasantheran (tengah) ditampar guru berkenaan dalam kejadian 13 Jun lalu. Turut kelihatan, Chaa Kee Chin (kanan).
 
SEREMBAN - Seorang bapa mendakwa ditampar seorang guru di pekarangan sebuah sekolah di Seremban 2, dekat sini, sewaktu menjemput anaknya untuk pulang.

Dalam kejadian 13 Jun lalu, K. N Balasantheran, 45, turut mendakwa hampir dibaling batu bata dan diugut akan dicederakan di luar sekolah oleh guru berkenaan hanya kerana mahu penjelasan tindakannya sering memukul anaknya di sekolah.

“Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang Khamis lalu, saya datang ke sekolah untuk menjemput dua anak saya termasuk seorang perempuan yang bersekolah di sekitar Seremban 2.

“Sebaik saja tiba, anak lelaki saya yang berumur 9 tahun mengadu terdapat seorang guru lelaki di sekolah itu memarahinya dengan perkataan tidak sepatutnya seperti 'binatang' dan 'lembu'," katanya.

Menurutnya, selepas itu, dia terus berjumpa dengan guru terbabit yang kebetulan berada berdekatan pagar sekolah untuk bertanyakan mengenainya.

“Dalam perbualan kami, cikgu itu memberitahu saya supaya tidak masuk campur dengan hal sekolah kerana ia melibatkan pelajar sahaja. Tapi, saya tak puas hati dengan jawapan itu kerana cikgu itu menghina anak saya depan kawan-kawannya.

“Saya terus desak cikgu itu memberi penjelasan tapi tiba-tiba dia terus menampar muka saya. Dia juga mengambil seketul batu dari pasu bunga untuk memukul saya, namun sempat dihalang beberapa ibu bapa yang turut berada di situ,” katanya pada sidang media di Pejabat Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin.

Turut hadir, Peguam A. Partheeban. Balasantheran yang juga tergolong dalam golongn orang kurang upaya (OKU) kerana masalah mata berkata, kejadian berlaku di hadapan dua anaknya serta beberapa penjaga murid yang datang untuk mengambil anak mereka di sekolah.

"Akibat kejadian itu, anak saya kini trauma dan takut pergi sekolah, malah demam akibat terkejut dengan apa yang berlaku," katanya.

Menurutnya, dia juga sudah membuat laporan di Balai Polis Seremban pada hari sama.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Kalsom Khalid ketika dihubungi Sinar Harian, semalam berkata, pihaknya sudah maklum dengan kejadian tersebut.

"Kita akan menyiasat perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut," katanya.