7 Jun 2013
Au Fook Sang, 54, ditemui mati dengan keadaan fizikalnya yang sudah reput dalam anak sungai kira-kira 9 pagi semalam, tidak jauh dari kereta terbabit oleh seorang pesara tentera, Kasim Bachik, 59, yang kebetulan berada di situ untuk mencari buluh.
Kasim berkata, dia ke kawasan gaung terbabit bersama isterinya untuk mencari buluh sebagai persiapan majlis kenduri ahli keluarganya yang dijadualkan berlangsung hari ini.
“Saya memang biasa mencari buluh di sini. Ketika saya sedang memilih buluh yang sesuai isteri saya panggil dari atas beritahu ada kereta terbalik di sebalik pokok di situ.
“Jadi saya turun ke bawah dan memeriksa kereta itu tapi tidak menjumpai sesiapa sehinggalah saya menemui mayat seorang lelaki kira-kira 24 meter dari situ,” katanya.
Menurutnya, ketika ditemui, keadaan mangsa tertiarap dan kakinya sudah hampir reput sebelum dia bertindak menghubungi polis.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa dipercayai memandu Honda Insight bersendirian dari arah Mantin menghala ke Seremban.
Bagaimanapun, katanya, sejurus sampai ke lokasi kejadian kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke dalam gaung berkenaan.
“Kita percaya mangsa masih hidup selepas kejadian itu dan cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari kereta terbabit, namun berkemungkinan keadaannya parah menyebabkannya sukar mendapatkan bantuan.
“Mayat mangsa ditemui kira-kira 24 meter dari keretanya dengan keadaan lengkap berpakaian. Berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah hampir reput, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu,” katanya.
Jurucakap polis itu berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk membawa mayat mangsa ke atas.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk urusan pengebumian semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang mengesahkan mayat yang ditemui merupakan lelaki yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sebelum ini.
“Kita telah menemui dompet milik mangsa yang di dalamnya terdapat kad pengenalan yang tertulis nama lelaki yang pernah dilaporkan hilang pada 20 Mei lalu,” katanya.
Sinar Harian pada keluaran 30 Mei lalu melaporkan keluarga seorang lelaki yang hilang sejak 11 hari lalu menawarkan sejumlah wang saguhati kepada mana-mana pihak yang menjumpai lelaki tersebut.
Menurut anak saudaranya, Foong Pooi Kuan, 31, bapa saudaranya itu hilang sejak keluar dari rumah pada 20 Mei lalu dengan memandu kereta jenis Honda Insight warna perak secara bersendirian.
Pada hari kejadian, Fook Sang keluar rumah dengan memakai baju T Polo berjalur hijau, manakala keadaan fizikalnya tinggi dan kurus.
0 Komen