Seh Yong (kanan) ketika mengadakan sesi dialog bersama pekebun getah.
Penoreh mendakwa, keadaan semakin menjadi-jadi sejak tiga bulan lalu menyebabkan mereka kerugian mencecah ribuan ringgit.
Bagi menangani masalah itu, Adun Bahau, Chew Seh Yong mengadakan sesi dialog bersama pekebun getah di kawasan berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian.
Menurut Seh Yong, masalah 'hantu getah' itu sememangnya meresahkan pekebun kerana ia satu-satunya sumber pencarian utama mereka.
“Saya menerima aduan daripada pekebun berhubung masalah ini dan mereka mendakwa kerugian sehingga menggugat sumber pendapatan mereka. Hampir setiap hari hasil kerja titik peluh mereka akan hilang dan sejak kebelakangan ini keadaan semakin menjadi-jadi,” katanya.
Menurutnya, masalah itu perlu ditangani segera kerana sekiranya dibiarkan berlarutan, ia akan memberi kesan kepada kira-kira 300 pekebun getah di kawasan tersebut.
Lebih-lebih lagi, katanya, pekebun bersusah payah bekerja seawal pagi untuk menoreh getah, sudah tentu lebih kecewa apabila hasil mereka dicuri mereka yang mahu mengaut keuntungan mudah.
"Sebagai tindakan susulan, pihak kami bersama pekebun menubuhkan jawatankuasa khas membanteras aktiviti mencuri getah ini.
"Bagaimanapun, menjadi harapan pekebun agar polis juga turut sama membantu memastikan pihak tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan ini dapat ditangkap," katanya.
Selain itu, katanya, beliau bersama Adun Chennah, Anthony Loke dan pekebun terbabit akan menghantar memorandum kepada Ketua Polis Daerah Jelebu berkaitan masalah ini.


0 Komen