Temui ajal dalam kereta
Keadaan kereta mangsa yang terbabas ke dalam longkang, semalam.
Temui ajal dalam kereta
Mangsa ketika menerima rawatan kecemasan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
PORT DICKSON – Seorang warga emas maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 13.4 Pasir Panjang ke Telok Kemang selepas mengalami serangan jantung.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi semalam, Ang Chu Hak, 64, maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandu bersendirian terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam longkang.

Saksi kejadian, Yap Kooi Kiong, 43, berkata, dia melihat kereta dipandu mangsa terbabas ke dalam longkang.

Menurutnya, dia segera membantu namun mangsa tidak dapat dikeluarkan dari kereta memandangkan pintu tempat duduk pemandu tidak boleh dibuka berikutan kedudukannya yang berada di dalam longkang.

"Saya hanya boleh memastikan mangsa terus sedar dan bernafas sehingga bantuan kecemasan tiba.

"Dalam masa sama, polis peronda yang melalui kawasan kemalangan segera memberikan bantuan dan pasukan bomba dihubungi bagi mengeluarkan mangsa," katanya.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai penyelia projek pembinaan kemudian dibawa ke Rumah Mayat Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian.