Penguatkuasa MPS menyita barang jualan peniaga yang melanggar syarat menggaji pekerja asing di bazar Ramadan dekat Dataran Senawang, malam kelmarin.
Gerai yang menjual pakaian wanita, songkok dan samping, manakala sebuah lagi menjual permaidani dikesan menggaji pekerja lelaki warga Myanmar dan Pakistan berusia lingkungan 20-an.
Ketua Unit Operasi MPS, Anidah Mohd Nazri berkata, sewaktu pemeriksaan, dua pekerja asing itu sedang leka melayan pelanggan di gerai masing-masing.
“Ketika pemeriksaan, pemilik gerai tiada di situ. Kedua-dua warga asing ini tiada permit kerja sah dan diambil peniaga untuk menjaga gerai," katanya.
Menurutnya, selain kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut, MPS menyita kesemua barangan jualan dianggarkan bernilai RM24,000.
Dalam operasi sama, Anidah berkata, MPS memeriksa 274 peniaga di bazaar berkenaan dan daripada jumlah itu, seramai 23 peniaga dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai atau mempamerkan lesen perniagaan.


0 Komen