SRS tumpaskan pencuri kabel
Ahad (dua, kanan) memotong kek bersama Ismail (tiga, kanan), Abu Samah (tengah) dan tetamu lain sempena Hari Bapa dan Majlis Jasamu Dikenang.
KUALA PILAH – Walaupun baru dua tahun ditubuhkan, Skim Ronda Sukarela (SRS) Kampung Kepis di sini, melakar sejarah apabila berjaya mematahkan percubaan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM), dalam masa sama memberkas penjenayah terbabit.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kepis, Ahad Amin berkata, kejayaan itu mengharumkan nama SRS Kampung Kepis, sekaligus berjaya mendapat penghargaan daripada polis dan TM.

“KRT Kampung Kepis ditubuhkan pada 10 Oktober 2010 dengan melibatkan beberapa kampung seperti Kampung Sri Kepis, Kampung Kepis Ulu, Kampung Kepis Hilir, Kampung Kepis Baru dan Kampung Kepis Batu 10.

“Setahun selepas penubuhan KRT, SRS ditubuhkan dengan ahli lebih 15 orang.

“Sememangnya terdapat perubahan selepas ditubuhkan SRS dari segi kes jenayah.

"Gejala tidak bermoral di kawasan ini seperti merempit, gejala maksiat, pecah rumah dan jenayah lain dapat dikurangkan. Ini membuktikan penubuhan SRS ini  menampakkan kemajuan positif,” katanya pada majlis sambutan Hari Bapa dan Majlis Jasamu Dikenang di Balai Raya Kampung Kepis Hilir, di sini.

Hadir sama, Adun Johol, Abu Samah Mahat dan Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kuala Pilah dan Jempol, Khalid Ujang.