• Diikat sebelum disamun   
  • Keadaan besi tingkap rumah mangsa yang dipotong suspek.

PELANGAI – Seorang guru dekat sini, mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila rumahnya dipecah masuk empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, perompak terbabit mengejutkan kesemua keluarga mangsa iaitu pasangan suami isteri dan lima anaknya yang sedang tidur di bilik masing-masing sebelum dikumpulkan di sebuah bilik.

Menurutnya, perompak itu kemudian mengikat tangan dan mulut kesemua mangsa menggunakan kain yang terdapat di dalam rumah.

"Perompak melarikan barangan berjenama termasuk barang kemas bernilai RM1,500, lima telefon bimbit, tiga komputer riba, barangan komponen komputer dan wang tunai milik mangsa berjumlah RM4,000.

"Selepas perompak melarikan diri, mangsa, Shahruzin Ismail, 52, berjaya melepaskan diri dan membuka ikatan isteri, Hanim Mohamad, 49, serta anak-anak sebelum mendapatkan bantuan,” katanya.

Azmi berkata, perompak itu dipercayai masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap.

"Siasatan awal mendapati salah seorang perompak masuk melalui tingkap di mana besinya dipotong, kemudian membuka pintu belakang untuk membuka ruang kepada rakan yang lain masuk ke dalam rumah.

"Kesemua mangsa selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Katanya, perompak itu dipercayai tiga warganegara asing dan seorang tempatan yang terlibat dengan beberapa siri rompakan di seluruh negeri ini.
“Modus operandi juga sama seperti kes yang berlaku di sekitar Johol.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan sebatan,” katanya.