KUALA PILAH - Seorang bapa maut manakala anaknya cedera parah setelah motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 23 Jalan Kuala Pilah-Tampin, berhampiran Kampung Jeram, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, Mohd Nor Yasin, 52, yang menunggang motosikal Yamaha CDI 80 maut di tempat kejadian manakala anaknya, Muhd Aidil Syazwan, 17, cedera parah.
Sementara itu, pemandu kereta proton Wira berusia 25 hanya cedera di bahagian muka, manakala isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dari pekan Air Mawang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Jeram, Repah, Tampin.
Tambah Azmi, bagaimanapun, kereta dipandu lelaki berkenaan yang datang dari arah Tampin menuju ke Kuala Pilah hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan lalu bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa.
“Akibat pertembungan itu, Mohd Nor maut di tempat kejadian akibat hentakan kuat di kepala manakala anaknya yang patah paha dan tangan kanan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
“Pihak polis turut mengambil sampel air kencing dari pemandu kereta untuk pemeriksaan kandungan dadah dan alkohol,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mangsa telah meninggalkan seorang isteri, Zarimah Muhammad Yazit, 48, dan tiga orang anak berumur antara 15 hingga 21 tahun.
Anak saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, Mohd Nor yang bekerja sebagai penghantar gas dalam perjalanan pulang dari Kampung Simat, Johol setelah selesai memberi makan ternakan kambingnya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repah selepas solat Jumaat, semalam.
0 Komen