SEREMBAN – Kepimpinan Majlis
Belia Negeri Sembilan (MBNS) dan Majlis Belia Daerah (MBD) yang masih terlibat
secara aktif dengan politik Umno diminta berfikir semula pendirian politik atau
memilih meletakkan jawatan.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek
Abd Ghani berkata, tindakan itu perlu bagi mengelakkan permasalahan berbangkit
yang akan merencatkan usaha kerajaan negeri membangunkan belia di semua
peringkat.
“Berdasarkan pemerhatian saya kebanyakan mereka ini mempunyai hubungan kuat
dengan pemimpin politik terdahulu dan mempunyai jawatan dalam Umno dan ada juga
yang bertanding dalam pemilihan Umno baru-baru ini.
“Sudah semestinya pendirian politik mereka tidak selari dengan
kerajaan baru. Saya fikir, sebagai seorang yang matang, mereka sudah boleh buat
keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini.
Menurutnya, MBNS dan MBD adalah entiti utama mewakili belia di
peringkat negeri serta diiktiraf kerajaan serta perlu menyokong dan membantu
kerajaan baharu.
“Bukan bermaksud kita menghalang kebebasan setiap individu untuk
menyokong mana-mana parti politik, tetapi ia berkaitan soal kepimpinan belia di
bawah kerajaan.
“Kalau sekadar menyokong dalam pilihan raya, itu pilihan
masing-masing. Tapi sekarang ada yang pegang jawatan dalam Umno. Keadaan
ini dikhuatiri timbulkan isu lain dan mengikut pengiraan saya, sudah semestinya
mereka akan sedaya upaya menaikkan kepimpinan lalu. Jadi, bagaimana kita boleh
bekerjasama dengan baik,” katanya.
Mohamad Taufek berkata, adalah lebih baik individu terbabit
mengundur diri secara baik dan memberi ruang kepada kepimpinan baharu.
0 Komen